Kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung padam selepas 10 jam

NIBONG TEBAL: Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 jam untuk memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini yang bermula awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata kejadian itu melibatkan kebakaran longgokan sisa pepejal di tapak pelupusan fasa tiga.

Kawasan yang terjejas adalah seluas 0.6 ekar, iaitu tiga peratus daripada keseluruhan tapak seluas 25.96 ekar.

“Api pada mulanya telah dapat dikawal pada 9.30 pagi namun kebakaran masih berlaku di bahagian bawah timbunan sampah,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi pemadaman telah dibahagikan kepada dua sektor dengan menggunakan sumber air daripada tangki jentera serta pengangkut air menerusi kaedah relay pumping.

Kaedah ini diperlukan berikutan ketiadaan pili bomba di lokasi kejadian.

Bomba turut melaksanakan kaedah pemecah api dengan bantuan empat unit jentera pengorek bagi mengasingkan timbunan sampah.

Tindakan itu adalah untuk mengelakkan api daripada merebak ke kawasan lain.

John memaklumkan kaedah direct attack dan total flooding turut digunakan dalam usaha memadamkan kebakaran tersebut.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 4.05 petang dan operasi ditamatkan pada pukul 5 petang.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 6.39 pagi tadi.

Sebanyak 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal terlibat dalam operasi berkenaan.

Mereka dibantu oleh pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Bakap, Bandar Perda, Penanti, dan Bayan Baru.

Pasukan Bomba Sukarela dari Nibong Tebal, Parit Buntar, dan Tanjung Piandang juga memberikan bantuan.

Kali terakhir tapak pelupusan itu terbakar adalah pada 21 Julai 2024, yang melibatkan kawasan seluas 3,500 meter persegi.

Sebelum itu, pada Januari 2022, kebakaran besar melibatkan lebih 8,000 meter persegi telah berlaku.

Kejadian 2022 menyebabkan kawasan itu diisytiharkan sebagai zon bencana Tahap 1 oleh Majlis Keselamatan Negara.

Dua pusat pemindahan sementara telah dibuka bagi menempatkan penduduk dari Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru yang terjejas akibat pencemaran udara. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *