Presiden UMANY beri keterangan polis berhubung isu mansuh matrikulasi

KUALA LUMPUR: Polis merakamkan keterangan Presiden Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) Tang Yi Ze berhubung kenyataannya yang menggesa program matrikulasi dimansuhkan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohammad Lazim Ismail menyatakan rakaman keterangan itu dilakukan selepas pihaknya menerima 14 laporan berkaitan isu tersebut.

Beliau menegaskan rakaman keterangan terhadap individu berkenaan merupakan prosedur biasa siasatan tanpa sebarang penahanan dilakukan pada hari ini.

“Buat masa ini, hanya Tang sahaja yang dipanggil bagi dirakam percakapan berhubung isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

Tang yang diiringi peguamnya telah memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju pada kira-kira 2 petang.

Polis telah memulakan siasatan pada 16 September lepas berhubung kenyataan itu mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kenyataan Tang yang menggesa pemansuhan program matrikulasi dan penggantian kemasukan ke universiti awam dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia telah menimbulkan pelbagai kontroversi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *