BEIJING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyifatkan lawatan rasmi tujuh harinya ke China berjaya mengukuhkan komitmen kedua-dua negara ke arah hubungan yang lebih erat.
Beliau berkata lawatan itu membawa manfaat nyata bukan sahaja kepada Malaysia dan China malah kepada seluruh rantau ASEAN.
“Kerjasama ini diperkukuh melalui perdagangan, pelaburan, inovasi serta pertukaran antara rakyat yang menjadi tonggak kemakmuran bersama,“ katanya semasa sidang media penutup lawatan rasminya.
Fadillah menekankan kerjasama dalam bidang air, tenaga dan pengurusan sisa sebagai langkah penting bagi mencapai pembangunan mampan.
Beliau berkata Malaysia berhasrat untuk mengurangkan kos dan mempertingkatkan kecekapan melalui projek-projek rintis selari dengan agenda Malaysia MADANI.
Fadillah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan China atas jemputan ke Pameran China-ASEAN ke-22 serta layanan mesra sepanjang lawatan.
Lawatan beliau bermula di Nanning pada 17 Sept dengan ucaptama pada majlis pembukaan CAEXPO dan pertemuan dengan Naib Presiden China Han Zheng.
Beliau juga bertemu Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang Wei Tao bagi membincangkan kerjasama tenaga boleh baharu.
Di Chongqing, Fadillah melawat syarikat terkemuka dalam sektor sumber air dan menyatakan kekaguman terhadap kemajuan teknologi China.
“Saya amat teruja dengan kemajuan teknologi China dalam mitigasi banjir, rawatan air dan sistem pengurusan mampan,“ ujarnya.
Lawatan berakhir di Beijing dengan pertemuan bersama Naib Perdana Menteri China Liu Guozhong.
Beliau juga mengadakan sesi libat urus dengan syarikat tenaga utama China termasuk State Grid Corporation of China.
Fadillah berkata komitmen kepimpinan China menggambarkan keakraban dan kepentingan strategik hubungan Malaysia-China.
Menurutnya lawatan tersebut turut memperkukuh momentum hubungan peringkat tertinggi antara kedua-dua negara.
Dalam kerjasama sektor air, Malaysia dan China bersetuju meneroka kerjasama dalam pengurusan lembangan sungai dan mitigasi banjir.
Mereka juga akan meneroka konsep ‘Sponge City’ dan sistem air bersepadu.
Kepimpinan China dalam tenaga bersih membuka peluang kerjasama untuk memperkukuh Pelan Transformasi Tenaga Nasional Malaysia.
Antara bidang kerjasama yang dikenal pasti ialah solar, hidro, teknologi nuklear dan simpanan tenaga bateri.
Di bawah Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memacu Memorandum Persefahaman Dipertingkatkan mengenai ASEAN Power Grid.
Ini merupakan langkah penting ke arah perdagangan kuasa pelbagai hala yang memberi manfaat kepada seluruh rantau. – Bernama