RMK13 tumpu kurangkan jurang pembangunan negeri dengan agihan seimbang

GEORGE TOWN: Pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) memberi tumpuan terhadap pengurangan jurang pembangunan antara negeri melalui agihan perbelanjaan pembangunan yang lebih seimbang.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan kerajaan akan memastikan semua negeri menerima peruntukan pembangunan yang sewajarnya bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di peringkat wilayah.

Beliau menekankan kepentingan melihat perbezaan antara wilayah dari segi penggunaan perbelanjaan pembangunan.

“Kita memastikan yang perbelanjaan pembangunan diperuntukkan di semua negeri bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Pembentangan RMK13 Zon Utara di Pusat Konvensyen Setia Spice, Bayan Lepas.

Amir Hamzah yang juga menjalankan tugas Menteri Ekonomi berkata tumpuan pengagihan akan terus diberikan kepada enam negeri kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Menurutnya, semua projek yang diluluskan dalam RMK12 akan diteruskan manakala pemilihan projek seterusnya dibuat berasaskan data serta keperluan sebenar rakyat.

Kerajaan juga akan memperkenalkan pakej insentif lebih tersusun dan menyeluruh dengan penyelarasan merangkumi pelbagai agensi seperti MIDA, Kementerian Kewangan dan MDEC.

“Di masa depan kita nak gabungkan semua, agar ada insentif rangka kerja yang semua orang boleh faham, semua pelabur yang datang ke Malaysia, dia faham hala tuju Malaysia,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh RMK13, kerajaan komited untuk menyediakan pelaburan berjumlah RM611 bilion yang merangkumi RM430 bilion perbelanjaan pembangunan.

Pelaburan tersebut disokong pembiayaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berjumlah RM120 bilion serta RM61 bilion melalui kaedah perkongsian awam swasta (PPP).

Mengenai sesi libat urus hari ini, Amir Hamzah berkata ia bertujuan untuk menerangkan proses memastikan lakaran pembangunan negara dalam RMK13 dapat dilaksanakan dengan jaya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *