Trafik udara Copenhagen terjejas akibat aktiviti dron berhampiran lapangan terbang

COPENHAGEN: Trafik udara di Lapangan Terbang Copenhagen digantung sementara selepas beberapa dron dikesan berhampiran kawasan lapangan terbang.

Polis Copenhagen mengesahkan insiden itu berlaku pada lewat hari Isnin.

Lapangan terbang itu ditutup seketika bagi semua operasi pelepasan dan pendaratan pesawat.

“Lapangan Terbang Copenhagen telah dibuka semula selepas ditutup akibat aktiviti dron.

“Namun, akan berlaku kelewatan dan beberapa penerbangan berlepas dibatalkan,” menurut pengurusan Lapangan Terbang Copenhagen Kastrup pada awal Selasa.

Penumpang dinasihatkan untuk menyemak jadual penerbangan terkini dengan syarikat penerbangan masing-masing.

Lapangan terbang Copenhagen merupakan antara hab udara terbesar di rantau Scandinavia.

Ia berkongsi status utama dengan Lapangan Terbang Arlanda di Stockholm dan Gardermoen di Oslo.

Banyak penerbangan yang dijadual berlepas atau tiba di Copenhagen mengalami gangguan operasi.

Beberapa penerbangan terpaksa ditangguhkan, dibatalkan, atau dilencongkan ke lapangan terbang alternatif.

Lapangan terbang Billund di barat Copenhagen dan Gothenburg di Sweden menerima pesawat yang dilencongkan.

Punca sebenar aktiviti dron berhampiran kawasan lapangan terbang masih dalam siasatan.

Insiden ini berlaku berikutan serangan siber ke atas penyedia perkhidmatan IT yang menjejaskan operasi lapangan terbang Eropah.

Lapangan terbang di Berlin, Brussels, London Heathrow, dan Dublin turut terjejas oleh serangan siber tersebut. – Bernama-dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *