KOTA TINGGI: Tiga lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyimpan bangkai seekor harimau belang betina tanpa permit khas pada 16 September lepas.
Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan menjatuhkan hukuman itu ke atas Md Shaheezam Md Salim, 49, Nazerin Tomiran, 47, dan Mohamad Nazrol Tomiran, 28, selepas mereka mengaku bersalah.
Mereka didakwa menyimpan bangkai haiwan itu di bahagian bonet belakang sebuah kereta Perodua Alza bernombor pendaftaran JRB 4382 pada 6.10 pagi 16 September lepas di Stesen Minyak BHPetrol, Lot PTD 6179 Felda Tenggaroh, Mersing.
Spesies itu telah disenaraikan sebagai hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kesepuluh Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 70(1) Akta 716 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun atau denda minimum RM250,000 bagi setiap hidupan liar atau bahagiannya.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Perhilitan Fatin Hanum Abdul Hadi manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Fatin Hanum memaklumkan mahkamah bahawa kes itu adalah yang pertama selepas pindaan Akta 716 berkuat kuasa pada 1 Februari 2023 dan membabitkan kepentingan awam kerana harimau Malaya adalah khazanah negara yang semakin pupus.
“Populasi harimau Malaya kini dianggarkan kurang 150 ekor berbanding kira-kira 3,000 ekor pada 1950-an… kehilangan spesies ikonik negara ini akan memberi kesan buruk kepada ekosistem selain menjejaskan simbol identiti dan kedaulatan negara,” katanya.
Beliau berkata haiwan itu bukan sahaja menjadi ikon kepada jata negara malah lambang keberanian dan kekuatan bagi Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta bank utama negara, Maybank.
“Hidupan liar seperti harimau adalah mangsa bisu yang tidak mampu membela diri daripada kerakusan manusia, justeru hukuman berat perlu dikenakan sebagai pengajaran dan pencegahan,” katanya.
Ketika meminta hukuman ringan, Md Shaheezam yang bekerja sebagai pemandu ladang berkata dia menghidap kanser hati tahap empat dan menanggung lima anak.
Nazerin pula memohon hukuman lebih ringan atas alasan perlu menanggung isteri dan empat anak selain menghidap sakit buah pinggang manakala Mohamad Nazrol berkata dia baru melangsungkan perkahwinan selain turut menghidap penyakit buah pinggang.
Hayda Faridzal berkata mahkamah mengambil kira rayuan ketiga-tiga tertuduh termasuk masalah kesihatan dan tanggungan keluarga mereka selain hujah pendakwaan mengenai kepentingan awam serta kedudukan harimau Malaya sebagai spesies ikonik negara.
“Pengakuan bersalah tidak boleh dianggap sebagai diskaun automatik namun tetap diambil kira kerana ia menjimatkan masa dan kos mahkamah, pendakwaan serta saksi.
Setelah menimbangkan semua faktor yang relevan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM250,000 terhadap setiap tertuduh dan jika gagal bayar, penjara tujuh tahun,” katanya.
Terdahulu, Hayda Faridzal turut membuat pengecaman fizikal terhadap beberapa eksibit termasuk bangkai haiwan itu dan kereta Perodua Alza di pekarangan mahkamah. – Bernama