MPM sambut baik pandangan SPRM berhubung isu insentif Liek Hou

KUALA LUMPUR: Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyambut baik nasihat serta pandangan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berhubung isu tadbir urus insentif atlet para negara.

Isu ini khususnya membabitkan jaguh badminton negara Cheah Liek Hou.

Presiden MPM Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin telah berhubung secara langsung dengan Azam bagi memberikan penjelasan lanjut.

“Presiden MPM menegaskan bahawa MPM akan terus berpegang teguh kepada Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang telah ditandatangani bersama 23 Persatuan Sukan Para Kebangsaan pada 25 November 2021,” menurut kenyataan MPM.

Azam Baki sebelum ini berpandangan kelemahan tatakelola dan ketidaktelusan menjadi punca polemik isu membabitkan Liek Hou.

Beliau berkata kelemahan dari segi penyampaian maklumat dan pelaksanaan dasar boleh menimbulkan salah faham serta kekecewaan.

Liek Hou baru-baru ini mendakwa MPM gagal melunaskan insentif wang tunai RM60,000 yang dijanjikan selepas memenangi pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2024 di Paris.

Beliau menzahirkan kekecewaan itu menerusi media sosial.

Megat D Shahriman pada tahun lepas memaklumkan ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 seorang menanti atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas.

Ganjaran itu diberikan tiga syarikat luar bagi meningkatkan motivasi atlet negara memburu emas di Paris.

Isu kelewatan pembayaran itu membawa kepada pertikaian terbuka sehingga MPM mempertimbangkan tindakan undang-undang dan penggantungan.

Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengesahkan tiada penggantungan dikenakan kerana tuntutan Liek Hou bukanlah pelanggaran disiplin.

MPM juga berterima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan atas perkongsian ‘template’ penajaan oleh Road To Gold (RTG).

Template itu kini akan dijadikan rujukan tambahan bagi memastikan ganjaran dijanjikan penaja didokumenkan secara rasmi.

“MPM menguruskan obligasi kontrak mengikut prosedur, namun dalam proses mengumpulkan penajaan atau ganjaran, ada kalanya berlaku perkara di luar jangka seperti penarikan penajaan.

“Dalam keadaan sebegini, MPM akan memaklumkan sebarang perubahan kepada semua pihak berkepentingan dengan penuh ketelusan,” menurut kenyataan itu. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *