Eropah catat lebih 62,700 kematian berkaitan haba pada musim panas 2024

MADRID: Gelombang haba musim panas 2024 mengakibatkan lebih 62,700 kematian di Eropah menurut kajian Institut Kesihatan Global Barcelona.

Peningkatan hampir 25 peratus ini berbanding tahun 2023 dinyatakan dalam jurnal Nature Medicine.

Penulis utama kajian Joan Ballester Claramunt mendedahkan terdapat lebih 181,000 kematian berkaitan haba di Eropah sepanjang musim panas dari 2022 hingga 2024.

Itali sekali lagi menjadi negara paling terjejas tahun lalu dengan anggaran 19,000 kematian berkaitan haba antara 1 Jun dan 30 September 2024.

Sepanyol berada di tempat kedua dengan lebih 6,700 kematian diikuti Jerman yang mencatat sekitar 6,300 kes kematian.

Greece dengan hampir 6,000 kematian dan Romania lebih 4,900 masing-masing di tempat keempat dan kelima.

Kedudukan negara berubah apabila jumlah kematian diambil kira mengikut saiz populasi.

Greece berada di tempat pertama dengan 574 kematian bagi setiap sejuta penduduk diikuti Bulgaria dengan 530 dan Serbia 379.

Di 15 daripada 32 negara yang diteliti musim panas 2024 merupakan yang paling dahsyat dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Di beberapa negara seperti Jerman Sepanyol dan Perancis musim panas 2022 lebih buruk.

Secara keseluruhan para penyelidik menyatakan Eropah mencatat lebih banyak kematian berkaitan haba pada 2022 berbanding 2024.

Golongan warga emas dikenal pasti sebagai kumpulan paling berisiko dalam kajian tersebut. – Bernama-dpa

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *