Pertandingan debat pacu kemenjadian murid kata Menteri Pendidikan

PUTRAJAYA: Pertandingan debat berfungsi sebagai wadah penting dalam melahirkan kemenjadian murid melalui pemantapan potensi, keyakinan diri serta penguasaan bahasa yang baik.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata penganjuran Pertandingan Debat Generasi MADANI Piala Menteri Pendidikan Peringkat Kebangsaan 2025 membuktikan kemampuan generasi muda menguasai bahasa Melayu secara berkesan dan berwibawa.

Beliau menyatakan kebanggaan terhadap komitmen dan potensi luar biasa yang ditunjukkan oleh para peserta.

Fadhlina menjelaskan bahawa setiap komponen dalam akronim PETAH membawa peranan penting sebagai asas kepada penguasaan bahasa serta kemahiran komunikasi murid.

“Pengucapan Bertatasusila, Ekspresi Kreatif, Tata Bahasa Gramatis, Artikulasi Sempurna dan Hujah Bernas menjadi teras program ini,” katanya.

Beliau menegaskan program tersebut selaras dengan iltizam KPM dan Kerajaan MADANI untuk memperkasakan bahasa kebangsaan.

Fadhlina berkata PETAH akan diteruskan sebagai agenda tahunan KPM manakala Akademi Bahas MADANI akan diperluas ke seluruh negara.

Akademi Bahas MADANI akan berperanan sebagai platform latihan berstruktur untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Inisiatif ini seiring dengan usaha membina daya kepimpinan dan pemikiran kritis generasi muda.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atas kerjasama strategik dalam menjayakan program tersebut.

Pasukan dari Sabah yang terdiri daripada enam pelajar perempuan dinobatkan sebagai johan pertandingan tersebut.

Noraeezma Mada Ali Joharie, 16, menyifatkan kemenangan itu sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.

Beliau berkata kejayaan merupakan hasil usaha gigih anggota pasukan dan bimbingan daripada guru serta jurulatih.

“Kami susah untuk berlatih tetapi saya bersyukur sebab saya ada pasukan yang baik,” katanya.

Mengenai strategi, beliau berkata pasukannya mengutamakan cara pembuatan konsep dan penyampaian hujah yang kukuh.

Pasukan itu membawa pulang piala iringan dan piala pusingan serta cek cura bernilai RM12,000. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *