Persatuan pengguna sambut baik Budi95, gesa kerangka subsidi lebih pintar

KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk menetapkan harga subsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter, penurunan daripada RM2.05 bermula 30 Sept ini di bawah program BUDI MADANI RON95 (BUDI95), dilihat sebagai langkah praktikal untuk membantu isi rumah menguruskan kos sara hidup.

Persatuan pengguna menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dan berkata langkah berkenaan akan memberikan kelegaan kepada banyak keluarga khususnya berpendapatan rendah sekali gus menyerlahkan komitmen kerajaan MADANI kepada rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Dr T. Saravanan berkata bahan api kekal sebagai keperluan harian bagi kebanyakan rakyat Malaysia sama ada untuk berulang-alik ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah atau menjalankan perniagaan kecil.

“Sebarang pengurangan kos petrol diterjemahkan kepada penjimatan bermakna yang kemudiannya boleh disalurkan untuk makanan, pendidikan dan perbelanjaan penting lain.

“Dengan kos sara hidup kekal menjadi kebimbangan utama kebanyakan rakyat Malaysia, langkah ini memberikan kelegaan segera dan ketara,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Bagaimanapun Saravanan berkata walaupun subsidi membantu melindungi pengguna daripada tekanan inflasi, ia juga mesti menyeimbangkan bantuan jangka pendek dengan kelestarian ekonomi jangka panjang.

“Struktur berasaskan kuota serta langkah untuk mencegah penyalahgunaannya akan menjadi kritikal untuk memastikan faedah subsidi tidak dibazirkan.

“Dalam jangka masa panjang, subsidi juga harus menjadi sebahagian daripada jaringan keselamatan sosial yang lebih luas merangkumi pengangkutan awam lebih kukuh, perumahan mampu milik dan inisiatif keterjaminan makanan supaya sokongan kepada pengguna melangkaui harga bahan api sahaja,“ katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan perkara itu pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pagi tadi.

Perdana Menteri berkata semua warganegara Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat subsidi RON95 melibatkan lebih 16 juta orang mengikut data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) Datuk Seri Haniff Omar berkata penurunan enam sen harga RON95 mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat, meskipun harga bahan api itu kekal tinggi di kebanyakan negara lain.

“Selain itu, penggunaan aplikasi digital sedia ada seperti ‘Setel’ diharap dapat mengurangkan kemungkinan berlakunya masalah gangguan sistem, memandangkan kad pengenalan rakyat masih belum dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk digital,” katanya.

Haniff menambah pelaksanaan BUDI95 yang menawarkan subsidi sehingga 300 liter sebulan itu bukan sahaja membantu rakyat merancang penggunaan petrol terutamanya bagi pemanduan jarak jauh, malah pada masa sama menjimatkan perbelanjaan subsidi kerajaan.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohamad Samsudin dalam kenyataan berasingan pula menyifatkan pengumuman kerajaan itu sebagai usaha menangani masalah ketirisan yang selama ini turut menguntungkan syarikat besar serta golongan bukan warganegara.

Menurutnya, penyasaran subsidi berpotensi memberikan kesan rantaian positif kepada kos logistik, harga makanan asas dan pengangkutan awam.

“ABIM menekankan keperluan kerajaan menyediakan langkah mitigasi yang jelas termasuk menggunakan penjimatan subsidi untuk menyokong tambang (pengangkutan) awam serta menstabilkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata isu ketirisan subsidi tidak hanya membabitkan petrol semata-mata, sebaliknya turut melibatkan subsidi pukal lain seperti tol, beras, gula, elektrik dan minyak masak yang sebahagiannya dinikmati golongan tidak layak termasuk bukan warganegara.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu menggerakkan reformasi menyeluruh ke arah model subsidi lebih pintar antaranya menerusi pendigitalan pintar dan integrasi data antara JPN, JPJ, Jabatan Imigresen Malaysia serta agensi berkaitan supaya kelayakan penerima dapat disahkan secara automatik.

Menurut kenyataan itu, keberkesanan pelaksanaan BUDI95 amat bergantung kepada infrastruktur sokongan seperti sistem MyKad, pembaca kad dan aplikasi digital.

Sehubungan itu, ABIM menggesa semua sistem berkenaan perlu dipastikan berfungsi sepenuhnya sebelum tarikh kuat kuasa.

“Kerajaan juga wajar mempertimbangkan tempoh percubaan lebih panjang khususnya di kawasan luar bandar yang berisiko menghadapi masalah capaian teknologi,” katanya.- BERNAMA

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *