PARIT: Seorang warga emas didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah menyentuh dan mencubit pipi seorang wanita awal bulan ini.
Majistret Nurul Izalina Rajaai turut memerintahkan Samsuri Kamaruddin, 63, menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Beliau menasihatkan Samsuri untuk menjaga batasan termasuk dengan orang yang dikenali.
“Kita semua ada kenalan masing-masing, tapi perlu menjaga batas. Dengan sesiapa pun, kalau bukan mahram, tidak perlu sentuh-sentuh pipi, sentuh tangan. Perbuatan kamu bukan setakat menjatuhkan maruah mangsa tetapi juga ahli keluarga kamu,” katanya.
Samsuri didakwa menggunakan kekerasan jenayah ke atas seorang wanita berusia 23 tahun dengan maksud mencabul kehormatannya pada 4 petang 5 September di sebuah kedai runcit di Simpang 4 Bota Kanan, Perak Tengah.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, lelaki itu didakwa menyentuh pipi kiri wanita itu yang merupakan pekerja kedai runcit tersebut dua kali semasa mangsa membuat kira-kira di kaunter bayaran.
Wanita itu telah memarahi tertuduh, namun warga emas itu tetap menyentuh dan mencubit pipi mangsa, menyebabkan dia trauma dan takut untuk hadir bekerja.
Peguam Nurul Syuhada Mohd Yusof merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan terhadap anak guamnya kerana lelaki itu tidak bekerja dan ditanggung dua anak, selain isterinya menghidap penyakit jantung.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Ameerul Nazhif Wan Zulfikri.
Samsuri membayar denda itu. – Bernama