KUALA LUMPUR: Malaysia akan memperkukuh hubungan pertahanan dengan Korea Selatan ke tahap strategik serta membentuk kerjasama industri yang praktikal.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyatakan komitmen bersama kedua-dua negara terhadap keamanan, keselamatan dan kemajuan teknologi.
Beliau berkata kerjasama pertahanan Malaysia-Korea Selatan telah mencapai tahap penting susulan keputusan memperdalam kerjasama keselamatan.
“Malaysia bersedia mempelajari kepakaran Korea Selatan, menerima pemindahan teknologi serta melaksanakan pembangunan dan pengeluaran bersama,” katanya semasa ucaptama Seminar Ketiga Kerjasama Industri Pertahanan Malaysia-Korea.
Mohamed Khaled menegaskan Malaysia menganggap Korea Selatan sebagai rakan yang dipercayai dengan industri pertahanan bertaraf dunia.
“Dialog semata-mata tidak mencukupi. Inilah masanya untuk bertindak, daripada sekadar niat baik kepada hasil nyata,” katanya.
Beliau berkata kerjasama ini tepat pada masanya memandangkan landskap keselamatan global kini berubah pantas.
“Apabila kerjasama ini berhasil, ia bukan sahaja memperkukuh keselamatan negara kita malah menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Mohamed Khaled memaklumkan Malaysia sedang mempercepatkan satu perjanjian perolehan kerajaan dengan kerajaan (G2G) bersama Korea Selatan.
Perjanjian itu dijangka akan dibentangkan untuk kelulusan Jemaah Menteri menjelang Oktober.
Korea Selatan akan menjadi negara kedua selepas Turkiye yang menandatangani perjanjian eksklusif seumpama itu bersama Malaysia.
“Kerjasama dalam perolehan pertahanan bukan sekadar soal membeli daripada anda. Ia juga tentang kesediaan anda untuk berkongsi, memindahkan serta membantu membangunkan syarikat dan industri kami,” katanya.
Seminar tersebut disertai kira-kira 150 peserta termasuk pegawai, ahli akademik dan wakil industri pertahanan dari kedua-dua negara.
Ia turut menampilkan pembentangan mengenai dasar kecerdasan buatan (AI) serta perbincangan berhubung aplikasi AI dalam bidang pertahanan.
Lebih 20 syarikat pertahanan Malaysia serta wakil syarikat pertahanan utama Korea Selatan turut mengambil bahagian. – Bernama