SPRM bongkar sindiket seludup diesel libat kerugian RM247 juta

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar sindiket rasuah, penyeludupan minyak diesel serta pengubahan wang haram di Sabah dan Sarawak melalui siri operasi khas Ops Karen 1.0 hingga 3.0.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menyatakan kegiatan jenayah terancang itu dipercayai telah menyebabkan kerugian hasil kerajaan sebanyak RM247 juta dalam tempoh 10 tahun.

Operasi bersepadu itu melibatkan Pasukan Petugas Khas Pelbagai Agensi (MATF) diketuai SPRM bersama-sama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Jabatan Laut.

Sebanyak 21 anggota Pasukan Taktikal SPRM (ACTS) ditugaskan untuk melaksanakan serbuan berisiko tinggi itu dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menyediakan helikopter dan bot tempur.

Kira-kira 100 pegawai SPRM turut digerakkan bagi menjayakan operasi berkenaan di Ibu Pejabat SPRM.

Hasil operasi itu membawa kepada penahanan enam orang termasuk dua individu bergelar Datuk iaitu empat pengarah dan dua pengurus syarikat yang memiliki lesen sah pembekalan minyak diesel.

Mereka disyaki menyalahgunakan lesen itu untuk tujuan penyeludupan minyak diesel secara haram.

Sebanyak 36 saksi telah dirakam bagi membantu siasatan kes itu mengikut Seksyen 16, 17, 17A dan 18 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

SPRM turut membekukan 498 akaun bank bernilai RM110 juta selain menyita pelbagai aset termasuk lima kapal bernilai RM52 juta.

Aset lain yang disita termasuk 4.5 juta liter minyak diesel bernilai RM9.7 juta, 17 kereta mewah (RM5.6 juta), dan 40 bidang tanah (RM11.3 juta).

Turut disita sembilan jam tangan mewah (RM1.2 juta), satu jongkong emas 500 gram (RM260,500) serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah RM156,479.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan mencapai RM190.8 juta melibatkan komitmen berterusan agensi itu dalam membenteras jenayah yang menggugat ekonomi dan keselamatan negara.

Siasatan yang dijalankan menerusi Ops Karen ialah hasil risikan teliti dengan kerjasama BNM serta agensi berkaitan bagi mengesan aliran kewangan mencurigakan.

Operasi kali ini merupakan siri kedua selepas tindakan sama di Sarawak pada tahun lepas dengan kes baharu ini jauh lebih besar skopnya.

Kegiatan ini dipercayai mendapat perlindungan daripada elemen kongsi gelap termasuk kumpulan underground yang membantu sindiket menyeludup minyak dari kawasan nelayan di Sarawak.

Kerajaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM247 juta sepanjang 10 tahun tetapi jumlah pemulihan dijangka lebih besar hingga dua kali ganda.

Pemulihan termasuk hasil denda, penalti dan kutipan cukai tertunggak selepas siasatan lengkap dijalankan.

Syarikat terlibat berdepan dengan tindakan pelbagai agensi termasuk penyitaan aset, pembatalan lesen serta kemungkinan disenaraihitamkan oleh KPDN.

Tindakan undang-undang akan diambil di bawah Akta SPRM 2009 dan AMLATFPUAA 2001 terhadap semua pihak yang terlibat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *