Perjanjian laut lepas PBB capai 60 ratifikasi, berkuat kuasa Januari 2026

NEW YORK: Perjanjian penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi melindungi biodiversiti marin di laut lepas kini mencapai 60 ratifikasi yang diperlukan untuk mula berkuat kuasa, sekali gus membuka laluan untuk pelaksanaannya pada Januari 2026, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).

Maghribi dan Sierra Leone menjadi negara ke-60 dan ke-61 meratifikasi perjanjian itu pada Jumaat.

Perjanjian yang secara rasmi dikenali sebagai Perjanjian di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan Pemuliharaan dan Penggunaan Mampan Kepelbagaian Biologi Marin di Kawasan Luar Bidang Kuasa Negara (Perjanjian BBNJ) telah diterima pakai oleh negara anggota PBB pada Jun 2023 selepas hampir dua dekad rundingan.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres menyambut baik perkembangan itu, menyifatkannya sebagai “pencapaian bersejarah untuk lautan dan multilateralisme.”

“Dalam tempoh dua tahun, negara-negara telah menukar komitmen kepada tindakan – membuktikan apa yang mungkin dicapai apabila negara-negara bersatu untuk kebaikan bersama.

Ketika kita berdepan krisis planet berganda iaitu perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran, perjanjian ini adalah talian hayat untuk lautan dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu – turut dikenali sebagai “Perjanjian Laut Lepas” – meliputi dua pertiga kawasan lautan dunia yang terletak di luar sempadan negara.

Ia menetapkan peraturan mengikat dari segi undang-undang untuk memelihara dan menggunakan biodiversiti marin secara lestari, berkongsi manfaat daripada sumber genetik marin secara lebih adil, mewujudkan kawasan perlindungan serta memperkukuh kerjasama saintifik dan pembangunan kapasiti.

Pengarah Eksekutif Program Alam Sekitar PBB (UNEP) Inger Andersen turut memuji pencapaian itu.

“Lautan kita adalah asas kewujudan kita. Hari ini kita mengambil langkah penting ke hadapan untuk menyelamatkan lautan kita, dan untuk menyelamatkan masa depan kita,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.

Sebaik sahaja Perjanjian Laut Lepas berkuat kuasa pada 17 Jan 2026, ia akan menyediakan rangka kerja global bagi membantu mencapai sasaran biodiversiti antarabangsa, termasuk janji untuk melindungi 30 peratus kawasan darat dan laut menjelang 2030 di bawah Kerangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal.

Guterres menggesa semua negara anggota PBB yang masih belum menyertai perjanjian itu supaya menyertainya tanpa berlengah lagi dan menyeru rakan kongsi menyokong pelaksanaan segera serta sepenuhnya- BERNAMA-WAM

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *