Ahmad Zahid ucap tahniah kepada Tang Jie-Ee Wei naib juara Masters China

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei atas kejayaan muncul naib juara Masters China 2025.

Beliau menyampaikan ucapan tersebut menerusi hantaran Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata walaupun juara dunia beregu campuran itu tidak membawa pulang kejuaraan kali ini, namun ia sama sekali bukan penamat.

“Kalian telah membuktikan kemampuan di pentas dunia, selepas muncul Juara Dunia 2025 di Perancis baru-baru ini.

“Teruskan perjuangan dengan semangat yang tidak pernah luntur, kalian inspirasi buat kami semua. Terus Mara, Malaysia Boleh,” katanya.

Ahmad Zahid juga menyifatkan Tang Jie-Ee Wei sebagai juara di hati seluruh rakyat Malaysia.

Tang Jie-Ee Wei muncul naib juara Masters China 2025 selepas tewas kepada gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran pada perlawanan akhir hari ini.

Pada perlawanan di Shenzhen Arena, pasangan itu tewas 8-21, 17-21 dalam tempoh 35 minit. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *