Situasi banjir Sabah pulih, mangsa Sarawak kekal 16 orang petang ini

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Sabah semakin pulih manakala jumlah mangsa di Sarawak masih kekal setakat petang ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 130 orang daripada 31 keluarga petang ini.

Jumlah tersebut menunjukkan penurunan ketara berbanding 439 orang daripada 128 keluarga pada pagi tadi.

Hanya dua pusat pemindahan sementara masih beroperasi melibatkan daerah Penampang dan Papar.

Mangsa banjir di Papar menunjukkan trend penurunan dengan hanya tujuh orang sahaja manakala jumlah di Penampang kekal 123 orang.

Keadaan banjir di Membakut pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara ditutup petang ini.

Hanya tiga kampung masih terjejas petang ini melibatkan satu di Penampang dan dua di Papar.

Di Sarawak, portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara merekodkan jumlah mangsa banjir yang berlindung di PPS Dewan Suarah Marudi kekal 16 orang daripada lima keluarga.

Data Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan paras sungai di stesen Long Teru masih berada pada 8.69 meter melebihi paras bahaya 8 meter.

Paras air di stesen Marudi ialah 4.12 meter berbanding paras bahaya 3.25 meter dan menunjukkan trend menurun.

Setakat ini tiada hujan dilaporkan di kawasan terjejas banjir di kedua-dua negeri tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *