LTdL 2025 tingkat keselamatan dengan pematuhan penuh SOP

KUALA LUMPUR: Penganjur Le Tour de Langkawi (LTdL) memberi jaminan aspek keselamatan akan dipertingkatkan pada edisi kali ini, dengan memastikan pematuhan menyeluruh terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkaitan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata beberapa siri mesyuarat bersama semua pihak terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diadakan bagi meneliti aspek keselamatan sepanjang perlumbaan.

“Dengan pengalaman yang kita lalui sejak 2023 hingga kini, isu keselamatan tidak timbul. Pihak polis juga telah mempertingkatkan kekuatan mereka untuk memastikan perlumbaan kali ini dikawal dengan baik.

“Pada masa sama, jangan lupa Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) juga mempunyai SOP yang perlu dipatuhi. Jadi kita sentiasa mengikuti semua garis panduan ditetapkan UCI dan PDRM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 6 Sept lepas, seorang peserta Langkawi Legendary Ride (LLR) 2025, Low Beng Seng, 28, maut akibat kemalangan ketika sedang berkayuh di Jalan Kuala Muda dalam kejadian kira-kira 8.45 pagi itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi (COO) LTdL Emir Abdul Jalal berkata edisi tahun ini membabitkan kos kira-kira RM19.5 juta dengan RM7.5 juta diperoleh melalui tajaan termasuk RM1 juta daripada BubblesO2 dalam bentuk tunai dan barangan.

Beliau berkata memandangkan edisi kali ini di bawah anjuran MSN, peruntukan daripada geran kerajaan dan penaja disalurkan terus kepada operasi, keselamatan, infrastruktur dan logistik.

Emir berkata penganjur kini memasuki tahun ketiga mengendalikan LTdL sejak 2023 dan telah mengumpul pengalaman berharga.

“Daripada pengalaman kami, kami yakin kali ini kami dapat menganjurkannya dengan baik dan teratur,” katanya – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *