SEREMBAN: DAP mencadangkan supaya Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) diadakan serentak bagi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) terutamanya melibatkan negeri-negeri di Semenanjung bagi menjamin persiapan parti lebih tersusun serta menjimatkan kos.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan, demi memastikan kelancaran proses demokrasi serta keberkesanan strategi politik parti-parti, khususnya di bawah Pakatan Harapan (PH).
“Pada PRU lepas, pilihan raya terpaksa diadakan secara berasingan disebabkan beberapa faktor antaranya pandemik COVID-19.
“Namun, dalam situasi politik lebih stabil, adalah lebih baik jika kerajaan negeri khususnya di bawah PH berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Kali ke-23 DAP Negeri Sembilan di sini hari ini.
Beliau berkata walaupun pembubaran DUN terletak di bawah bidang kuasa negeri, koordinasi antara peringkat negeri dan pusat adalah penting, demi kepentingan rakyat dan negara.
Terdahulu dalam ucapannya, Loke berkata media antarabangsa turut melaporkan Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan skor yang baik, termasuk dari aspek ekonomi negara yang kukuh serta mempunyai kestabilan politik yang baik.
“Sudah tentu kuasa untuk menentukan bila Parlimen dibubarkan ialah Perdana Menteri, tapi pada peringkat parti, hasrat dan tanggjungjawab ialah membuat persiapan, kita ada kedudukan yang kuat apabila pilihan raya dipanggil nanti.
“Walaupun tempoh Parlimen boleh dilanjutkan sehingga akhir 2027, beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan Sarawak akan mencapai tempoh tamat lebih awal (sekitar 2026), yang perlu diambil kira,” katanya.
Untuk rekod DUN Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka tamat tempoh pada 2028.
Mengulas mengenai pembahagian kerusi dalam Kerajaan Perpaduan sekiranya pilihan raya diadakan, Loke berkata prinsip DAP jelas iaitu mana-mana kerusi dimenangi oleh sesebuah parti perlu dikekalkan kepada parti tersebut.
“Prinsip ini memang difahami oleh semua pihak. Kalau kita bekerjasama dalam kerangka Kerajaan Perpaduan ini, maka kita tak boleh bertembung antara satu sama lain. Kalau Barisan Nasional (BN) menang, kita tak lawanlah. DAP menang, parti lain tak lawanlah,” katanya.
Bagaimanapun, Loke berkata DAP tidak memaksa kerjasama tersebut diteruskan, sebaliknya ia terpulang kepada pendirian rakan parti lain.
“Ini kerangka dan prinsip yang kami tetapkan. Saya tidak pernah kata bahawa kami memaksa sesiapa untuk bekerjasama. Apa yang saya tekankan ialah komitmen kita dalam menjayakan Kerajaan Perpaduan serta kesediaan untuk terus bekerjasama pada masa akan datang,” katanya – Bernama