KUALA TERENGGANU: Syarikat terlibat diminta mengemukakan laporan penuh siasatan kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu berhubung insiden kebocoran paip gas milik Petronas Gas Berhad (PGB) di tapak Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) semalam.
JKKP Terengganu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya akan menjalankan siasatan menyeluruh serta mengambil tindakan perundangan sekiranya terdapat pelanggaran mana-mana peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
Menurut jabatan itu, di bawah akta berkenaan, majikan yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
Kenyataan itu turut menyebut bahawa sepasukan pegawai penyiasat JKKP Terengganu telah turun ke lokasi kejadian bagi melaksanakan siasatan awal.
“Notis Larangan Kerja telah dikeluarkan terhadap semua aktiviti pembinaan di kawasan berkenaan sehingga keadaan disahkan benar-benar selamat,” menurut kenyataan itu.
JKKP Terengganu memberi jaminan bahawa semua agensi berkaitan sedang bekerjasama rapat bagi memastikan keadaan terkawal, dan sehingga kini tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
“Orang ramai diminta bertenang serta memberi kerjasama dengan mematuhi arahan pihak berkuasa. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Petronas Gas Berhad turut memaklumkan bahawa dua injap utama telah ditutup untuk mengawal kebocoran, di samping kerja-kerja pengosongan gas dari paip sedang dijalankan.
“Proses ini dijangka mengambil sekurang-kurangnya tiga hari. Kawasan kejadian juga telah diisytiharkan sebagai zon larangan masuk dengan kawalan keselamatan 24 jam oleh Polis Diraja Malaysia. Orang awam sama sekali dilarang menghampiri lokasi bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan,” katanya.
Semalam, Bernama melaporkan polis menutup laluan utama Kerteh-Ranggon kepada semua kenderaan susulan kebocoran paip gas PGB di tapak ECRL Seksyen 5, Kerteh.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata kejadian pada 9.53 pagi itu berlaku kira-kira dua kilometer dari jalan utama dan tidak melibatkan kawasan perkampungan atau kediaman penduduk – Bernama