PENAMPANG: Kerajaan Sabah bercadang memperkenalkan dasar pemberian subsidi bagi pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah untuk membantu meringankan beban hutang pinjaman pendidikan anak negeri itu.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata dasar itu dijangka memberi manfaat kepada lebih 100,000 pelajar dan akan dibawa ke Kabinet Sabah dalam masa terdekat untuk diperhalusi serta dipertimbangkan terutama daripada segi kewangan.
“Saya optimis dasar ini praktikal untuk dilaksanakan kerajaan negeri sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang.”
“Ini bukti kesungguhan kerajaan negeri memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu di samping memastikan akses pendidikan sampai kepada pelajar.”
“Kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda cerminan kepada masa hadapan Sabah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Mahasiswa Sabah di sini hari ini.
Hajiji berkata sejak 2021, lebih RM1.3 bilion dibelanjakan dalam bidang pendidikan, dengan jumlah itu merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah.
Peruntukan besar itu memperlihatkan komitmen tinggi kerajaan negeri terhadap generasi muda.
“Kerajaan negeri juga menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak Merdeka iaitu RM136 juta tahun ini yang memberi manfaat ribuan pelajar daripada pelbagai peringkat pengajian.”
“Lebih 14 inisiatif telah diperkenalkan antaranya subsidi penerbangan dan bantuan SENTOSA untuk anak kita sambung belajar,” katanya. – Bernama