ALOR SETAR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang kru bot fiber dan merampas 48 unit bubu naga di perairan Kuala Sungai Dedap, Yan, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata bot fiber yang beroperasi tanpa lesen itu ditahan pada 11.30 pagi ketika rondaan rutin operasi bersepadu agensi tersebut.
“Kru bot warga tempatan berusia 39 tahun cuba melarikan diri dengan menuju ke daratan sebelum berjaya dipintas.
“Pemeriksaan menemukan 48 unit bubu naga yang diharamkan kerana berpotensi merosakkan ekosistem marin serta mengancam populasi hidupan laut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Azreyanti berkata rampasan termasuk bot dianggarkan bernilai RM112,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8(a) dan Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana mengendalikan bot tanpa lesen sah serta menggunakan peralatan tidak dibenarkan.
Beliau mengingatkan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mereka melanggar undang-undang dan orang ramai diminta melaporkan aktiviti penangkapan ikan haram atau kejadian mencurigakan melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah 04-7310579 – BERNAMA