Rampasan dadah RM600 juta peringatan untuk tindakan segera – Lee

KUALA LUMPUR: Rampasan dadah bernilai hampir RM600 juta, kebanyakannya jenis ekstasi, daripada beberapa makmal pemprosesan di Lembah Klang harus menjadi peringatan kepada negara, kata Pengerusi Alliance for a Safe Community Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata pengumuman terbaharu oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, menekankan betapa seriusnya ancaman dadah, dengan jumlah yang dirampas itu dianggarkan mampu membekalkan kira-kira 12 juta pengguna.

“Kewujudan makmal pemprosesan berskala besar di Lembah Klang menunjukkan bahawa sindiket antarabangsa dan tempatan melihat Malaysia bukan sahaja sebagai pasaran yang menguntungkan, malah sebagai hab strategik pengedaran dadah.

“Ekstasi dan dadah sintetik lain amat berbahaya, khususnya kepada golongan belia dan dewasa muda. Jika dadah ini sampai ke jalanan, kesan sosial dan kesihatan yang timbul akan menjadi sangat dahsyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Lee turut memuji tindakan pantas Polis Diraja Malaysia (PDRM), sambil menegaskan bahawa profesionalisme dan dedikasi pasukan itu berjaya mengelakkan apa yang boleh menjadi malapetaka besar kepada negara.

Bagaimanapun, beliau menekankan keperluan langkah pencegahan yang lebih berkesan, termasuk kawalan sempadan yang lebih ketat, perkongsian risikan dengan agensi serantau dan antarabangsa yang dipertingkatkan, serta penggunaan teknologi untuk mengesan dan menumpaskan sindiket dadah.

“Perang menentang dadah tidak boleh dimenangi dengan penguatkuasaan semata-mata. Ibu bapa, sekolah, pemimpin masyarakat dan pertubuhan masyarakat sivil perlu memainkan peranan dalam meningkatkan kesedaran, membina daya tahan dalam kalangan belia serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya.

Menurut Lee, rampasan besar-besaran itu harus menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa perang menentang dadah masih jauh daripada berakhir, manakala usaha kolektif, kewaspadaan dan komitmen amat penting bagi melindungi negara daripada ancaman tersebut.

Pada Rabu lepas, Mohd Khalid mendedahkan polis merampas 3,586.45 kilogram (kg) dadah bernilai RM598.9 juta dalam beberapa siri serbuan di Lembah Klang pada 10 Sept – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *