KUANTAN: Penyokong skuad futsal Harimau Malaya, khususnya di Pahang, diseru membanjiri Stadium Tertutup SUKPA di sini bagi tiga aksi pusingan kelayakan Piala Asia Futsal 2026 yang bermula hari ini.
Presiden Pahang Rangers, Tengku Arif Temenggong Tengku Fahad Mua’adzam Shah Sultan Ahmad Shah berkata perlawanan itu medan terbaik membuktikan Malaysia memiliki penyokong futsal terhebat sekali gus menjadi pembakar semangat kepada skuad kebangsaan.
“Mesej saya kepada penyokong Pahang, datang dan tunjukkan semangat serta keghairahan. Buktikan betapa kuatnya suara anda sebagaimana anda menjadikan futsal satu fenomena.
“Sokongan anda akan membakar semangat pemain, jadi datang dan berjuang bersama mereka. Ini rumah kita dan insya-Allah, kempen kelayakan ini milik kita,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas peluang skuad negara, Tengku Fahad yang juga Ahli Jawatankuasa Futsal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), yakin pasukan kendalian Rakphol Sainetngam mampu melayakkan diri ke Piala Asia sekali gus berada dalam kelompok 16 terbaik benua.
Malaysia memulakan kempen menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) malam ini, sebelum berdepan Bangladesh pada Isnin dan Iran pada Rabu depan.
Lapan juara kumpulan bersama tujuh naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir bersama tuan rumah, Indonesia, pada Januari depan – Bernama