Sultan Pahang tidak mahu Felda dijadikan “sarang” dadah

JENGKA: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kebimbangan terhadap masalah dadah di kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di negeri ini dan tidak mahu tanah rancangan itu dijadikan “sarang” dadah.

Baginda bertitah demikian berikutan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan daripada 4,204 penagih yang direkodkan di Pahang, sebanyak 1,317 orang membabitkan kawasan Felda termasuk 264 orang dikenal pasti dari Felda Jengka.

“Felda asalnya adalah lambang kejayaan negara, tanah subur yang melahirkan generasi peneroka. Saya tidak mahu warisan ini terus dicemari gejala hitam. Kembalikan maruahnya sebagai tanah berkat yang melahirkan generasi teguh, berilmu dan berakhlak,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Penutup Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) sempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah peringkat negeri di Dewan Balora Mastika di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan kepimpinan Felda supaya mengambil serius isu berkenaan dan tidak hanya menumpukan kepada keuntungan atau kepentingan politik semata-mata.

“Masalah dadah sudah berleluasa dalam kalangan anak muda di Felda. Pemimpin atasan perlu lebih bertanggungjawab bagi memastikan gejala ini dapat dibendung. Saya berharap kehadiran saya hari ini menjadi noktah kepada masalah dadah,” titah baginda.

Sementara itu, baginda turut menegaskan penguatkuasaan di sempadan laut perlu diperkukuh dengan kerjasama erat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan komuniti setempat supaya perairan negara tidak menjadi pintu masuk najis dadah.

Baginda bertitah sindiket penyeludupan menggunakan pelbagai cara termasuk bot nelayan, kapal dagang dan perahu kecil untuk membawa masuk bahan terlarang itu dari luar negara sebelum didaratkan di pantai dan muara terpencil.

“Pahang dengan garis pantai yang panjang dari Rompin hingga Cherating, menjadi sasaran sindiket yang licik. Ada yang berpura-pura sebagai nelayan, sedangkan jaring mereka bukan untuk ikan tetapi untuk jerat anak bangsa dengan najis dadah.

“Dari laut inilah bekalan itu kemudiannya menular ke darat, meresap ke bandar dan desa, menjerat belia, pelajar bahkan pekerja yang sepatutnya menjadi tulang belakang negeri,” titah baginda – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *