KUALA NERUS: Kebolehpasaran graduan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC) terus berada pada tahap membanggakan apabila hampir 99 peratus lulusan dalam semua bidang pengajian berjaya memperoleh pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Dr Anesee Ibrahim berkata dua bidang pengajian yang merekodkan kebolehpasaran tertinggi ialah pengkomputeran serta pelancongan dan hospitaliti, masing-masing 99.2 peratus.
Beliau berkata bidang reka bentuk dan grafik serta teknologi pertanian pula masing-masing mencatatkan 99 peratus, diikuti pengurusan dan perdagangan (98.9 peratus); kejuruteraan elektrik dan kejuruteraan mekanikal (98.8 peratus); kejuruteraan awam dan alam bina (98.2 peratus).
“Berdasarkan skor kebolehpasaran graduan PolyCC pada 2024, secara keseluruhan semuanya melepasi hampir 99 peratus (mendapat pekerjaan). Ini menunjukkan bahawa graduan yang dilahirkan oleh PolyCC menepati keperluan industri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Timur 2025 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Datuk Dr Mohd Zahari Ismail.
Mengulas lanjut, Anesee berkata skor kebolehpasaran graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah yang tertinggi berbanding institusi latihan di bawah kementerian lain.
“Kita sangat berbangga dengan pencapaian ini, namun usaha untuk memperkukuh ekosistem pekerjaan TVET akan diteruskan bagi memastikan dapat melahirkan graduan berkualiti.
“Fokus kita bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi tetapi juga individu yang mempunyai nilai kemanusiaan dan sahsiah positif,” katanya.
Seramai 6,542 graduan PolyCC dari Pahang, Terengganu dan Kelantan akan diraikan dalam 13 sidang Majlis Konvokesyen Zon Timur 2025 yang berlangsung selama tujuh hari bermula hari ini di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA.
PolyCC kini beroperasi dengan 36 politeknik dan 106 kolej komuniti di seluruh negara, melibatkan hampir 97,000 pelajar dengan program pengajian yang diiktiraf oleh badan profesional tempatan serta antarabangsa. – Bernama