Selangor komited seimbang pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar

SEPANG: Kerajaan Selangor komited memastikan pembangunan negeri berjalan seiring dengan pemeliharaan alam sekitar, budaya dan warisan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata penganjuran Pesta Pantai Bagan Lalang @ Sepang 2025 menjadi bukti kerjasama erat antara kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, swasta dan masyarakat pelbagai kaum.

“Pesta ini mengukuhkan perpaduan selain memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil dan pengusaha inap desa,” katanya ketika merasmikan pesta tersebut yang dianjurkan Majlis Perbandaran Sepang sempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Amirudin menyatakan pesta dua hari itu meriah dengan pelbagai aktiviti sukan, acara pantai dan persembahan seni yang menjadikan daerah Sepang destinasi pelancongan unik di Selangor.

Beliau berkata Selangor menerima lebih 4.1 juta pelancong setakat Jun 2025 dengan 624,794 daripadanya ke daerah Sepang, membuktikan potensi besar kawasan itu dalam menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.

Kerajaan negeri menyediakan pelbagai insentif untuk memperkasakan pengusaha sektor pelancongan dengan tujuan meningkatkan daya saing, kualiti produk dan perkhidmatan.

Amirudin menegaskan perairan pantai sepanjang 291 kilometer di negeri itu merupakan aset berharga dari segi ekosistem marin dan ekonomi yang mesti dijaga daripada pencemaran.

“Keindahan pantai yang kita nikmati hari ini perlu dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya sambil menyeru tanggungjawab bersama dalam pemuliharaan alam sekitar.

Beliau turut menghargai usaha Majlis Perbandaran Sepang yang konsisten memastikan Pantai Bagan Lalang sentiasa bersih dan selesa dikunjungi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *