KPDN Perak rampas 11,500 liter diesel disyaki diseleweng di Teluk Intan

IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak telah merampas 11,500 liter diesel yang disyaki diseleweng dalam satu serbuan di sebuah tapak pembinaan di Jalan Changkat Jong berhampiran Teluk Intan.

Serbuan yang dilaksanakan pada pukul 2.40 petang semalam itu merupakan sebahagian daripada Operasi Tiris 2025 berdasarkan risikan dan pemantauan selama seminggu.

Pemeriksaan di premis terbabit menemui 11,500 liter cecair disyaki diesel yang disimpan di dalam sebuah tangki bersama sebuah lori.

Seorang lelaki tempatan berusia 29 tahun yang mengaku sebagai penyelia tapak pembinaan gagal mengemukakan sebarang kebenaran, lesen atau permit untuk menyimpan barang kawalan tersebut.

Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas suspek menyimpan barang kawalan berjadual tanpa kebenaran bertulis daripada Pengawal Bekalan.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM140,200.

Siasatan lanjut juga dijalankan terhadap sebuah syarikat pembekal di Lembah Klang yang disyaki gagal memastikan pembeli memiliki lesen atau permit sah sebelum transaksi. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *