IPOH: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan membuka Balai Seni Negara cawangan ketiga di sini selepas Kuala Lumpur dan Langkawi di Kedah dengan menawarkan pameran imersif terbesar di negara ini.
Ketua Setiausaha MOTAC Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata cawangan baharu itu akan beroperasi di bangunan ikonik Pejabat Pos Lama Ipoh pada tahun hadapan dan dijangka menjadi hab seni kontemporari yang memberikan manfaat kepada komuniti penggiat seni.
“Dari segi pelancongan, semestinya ia akan memberikan impak yang bagus, positif dan pelancong-pelancong akan lebih ramai lagi datang ke sini untuk melihat koleksi-koleksi di Balai Seni.”
“Pada masa hadapan juga kita akan menaik taraf lagi Balai Seni ini dan melaksanakan pameran imersif di sini, antara galeri imersif yang terbesar di Malaysia sebab kita ada (pameran berkenaan) di ibu pejabat, tetapi kecil berbanding di Ipoh yang bakal kita laksanakan,“ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Ipoh Suka Langka di sini malam tadi.
Pameran imersif menggabungkan kecanggihan teknologi kecerdasan buatan, teknologi pemetaan dan realiti terimbuh.
Balai Seni Cawangan Ipoh itu bakal mempamerkan seni visual yang melibatkan pendigitalan dengan dua ruang utama pameran akan dilengkapi karya-karya agung seniman dari Malaysia dan Asia Tenggara.
Ruang bawah akan dijadikan sebagai pameran imersif untuk memberikan pengalaman yang lebih mendalam kepada pengunjung.
Shaharuddin berkata pihaknya juga akan mengetengahkan produk-produk pelancongan dan seni yang mempamerkan tempat bersejarah, khususnya di Perak, di Balai Seni Negara supaya dapat menarik minat pelancong berkunjung ke negeri itu.
“Terdapat banyak tempat bersejarah di Perak yang boleh kita lihat dari segi kesenian dan sebagainya sebab kita akan menyediakan satu trail untuk pelancong yang datang ke Ipoh untuk mereka melawat tempat menarik,“ katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata setakat ini, lebih 15 negara telah dikunjungi MOTAC bagi mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 antaranya Switzerland, Poland, Thailand, Beijing, dan India, sebagai destinasi pelancongan serta perniagaan.
“Segala persiapan berjalan dengan lancar dan yang terdekat kita akan buat program di Melaka pada hujung bulan ini.”
“Kita baru selesai melaksanakan Festival Budaya Malaysia 2025 yang juga sebahagian daripada kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.”
“Program berkenaan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada seluruh rakyat Malaysia dan juga pelancong luar negara.”
“Jadi, kita akan teruskan program-program untuk menarik pelancong, terutamanya bagi Tahun Melawat Malaysia 2026,“ katanya. – Bernama