KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru agar segala isu yang masih belum selesai berkaitan ketegangan antara Thailand dan Kemboja dibawa ke meja rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
Anwar berkata Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman sesama rakan ASEAN merupakan jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian.
Perkara itu dinyatakan Perdana Menteri selepas menghubungi rakan sejawat beliau dari Kemboja menerusi panggilan telefon semalam.
Beliau turut berkesempatan bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet bagi mendapatkan gambaran serta perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja.
Anwar menyeru agar segala isu yang masih belum selesai dibawa ke meja rundingan melalui JBC menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Malaysia telah mengadakan perbincangan lanjut dengan kedua-dua pemimpin negara itu susulan ketegangan yang berlaku.
Media sebelum ini melaporkan Perdana Menteri Kemboja mendakwa tentera Thailand menghalang lebih 20 keluarga kembali ke rumah mereka di kawasan sempadan yang dipertikai.
Jurucakap tentera Thailand Winthai Suvaree pula mendakwa penduduk Kemboja telah terlibat dalam insiden keganasan dan mencetuskan kekecohan dengan sengaja.
Beliau juga mendakwa penduduk Kemboja bertindak menduduki wilayah Thailand secara haram.
Thailand dan Kemboja sebelum ini telah mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata pada Julai dengan Malaysia sebagai mediator.
Pertempuran antara kedua-dua negara sebelum itu telah mengorbankan 33 nyawa. – Bernama