Raja Muda Selangor saksikan pertukaran MOU SAY-MATRADE, Perkasa usahawan belia

KUALA LUMPUR: Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Komuniti Belia Selangor (SAY) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di sini hari ini.

MoU itu menandakan permulaan kerjasama strategik antara SAY dan MATRADE, bertujuan memperkasakan usahawan belia di Selangor menerusi program Liga Usahawan Eksport Selangor (SAY ASPIRE).

Majlis pertukaran dokumen MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SAY Aiman Syafiq Nazri, disaksikan Tengku Amir Shah yang juga Penaung Diraja SAY.

Aiman Syafiq berkata program SAY ASPIRE akan menerima pelbagai manfaat termasuk bimbingan, pendedahan pasaran, akses kepada perpustakaan digital MATRADE dan jaringan perdagangan antarabangsa termasuk perkongsian kepakaran dan jalinan kerjasama strategik jangka panjang antara SAY dan MATRADE.

“Dengan sokongan MATRADE, mereka boleh menghubungkan (usahawan) dengan pegawai-pegawai MATRADE di luar negara dan pegawai ini boleh menghubungkan mereka dengan vendor-vendor ataupun pembekal yang mungkin berminat dengan produk atau barang-barang usahawan.

“…melalui jalinan kerjasama ini…akan memberi lebih banyak akses kepada usahawan kita…ataupun diberi pendedahan kepada fasiliti ataupun kemudahan yang ada di MATRADE,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran MoU itu.

Beliau berkata antara agenda utama MoU berkenaan adalah untuk memastikan peserta program SAY ASPIRE lebih bersedia menembusi pasaran antarabangsa dalam merealisasikan potensi perniagaan mereka.

Turut hadir Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi dan Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, wakil kerajaan negeri Selangor, ahli-ahli lembaga pengarah MATRADE, pengurusan tertinggi kedua-dua organisasi serta peserta program SAY ASPIRE.

Tengku Amir Shah turut berkenan melawat reruai yang dibuka sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 termasuk reruai usahawan SAY serta beramah mesra dengan usahawan dan pengunjung.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan MIHAS 2025 dianjurkan oleh MATRADE di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur bermula 17 hingga 20 Sept ini.

Bertemakan “Mercu Keunggulan Halal,“ acara itu menampilkan 2,400 reruai dengan penyertaan pempamer dan pembeli daripada 80 negara dan dijangka menarik kehadiran 45,000 pengunjung.

MIHAS 2025 turut dijangka mencapai sasaran jualan sebanyak RM4.5 bilion – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *