Lebih 1,000 cerun berisiko dikenal pasti di seluruh Malaysia

KUALA LUMPUR: Sebanyak 1,087 daripada 34,400 cerun di seluruh Malaysia dikategorikan sebagai berisiko dan diletakkan dalam pemantauan rapi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) yang diaktifkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) menjelang musim monsun timur laut.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata daripada jumlah itu 1,066 cerun berisiko terletak di Semenanjung, tujuh di Sabah, satu di Sarawak manakala 13 lokasi lagi di Labuan.

Beliau menyatakan sistem BiGBen memantau semua kategori cerun dengan sokongan teknologi terkini termasuk kecerdasan buatan untuk kesiapsiagaan menghadapi bencana.

Nanta berkata BiGBen berfungsi memantau insiden berkaitan bencana termasuk banjir, tanah runtuh, jalan mendap dan kerosakan jambatan secara hampir masa nyata melalui input pegawai JKR di peringkat daerah.

Maklumat berkenaan bukan sahaja dapat dimanfaatkan oleh badan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara, kerajaan negeri dan pejabat daerah malah turut dikongsi dengan orang ramai melalui aplikasi mudah alih yang boleh dimuat turun.

Pengguna juga boleh mengetahui status jalan ditutup penuh atau separa serta laluan alternatif melalui aplikasi tersebut.

Bagi bencana di Sabah, JKR telah menghantar pegawai teknikal ke lokasi untuk memberi khidmat nasihat teknikal selain bekerjasama dengan JKR Sabah dan pihak berkuasa negeri.

Setakat ini, terdapat 10 kes cerun dikenal pasti di Jalan Persekutuan di Sabah dengan anggaran kos kerosakan keseluruhan masih dikumpul kerana keadaan masih berlaku.

Nanta menekankan bahawa permohonan akan diajukan kepada Kementerian Kewangan jika dana dalaman tidak mencukupi untuk kerja-kerja pembaikan.

JKR dalam kenyataan memaklumkan agensi tersebut telah membuat persiapan rapi bagi menghadapi musim bencana dengan menyediakan 238.7 meter Jambatan Bailey untuk kegunaan kecemasan di tujuh stor.

Antara lokasi stor tersebut termasuk Bahagian Jalan JKR Kedah, JKR Daerah di Temerloh, Kuala Pilah, Johor Bahru, Petaling, Kinta dan Jajahan Machang di Kelantan.

Melaka dan Terengganu juga telah melaksanakan perolehan Jambatan Bailey menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) tahun 2025 bagi tujuan kesiapsiagaan bencana dan keperluan kecemasan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *