Kekalahan 4-2 Selangor bukan tragedi, kata jurulatih Kinoshi

PETALING JAYA: Ketua Jurulatih Selangor FC Katsuhito Kinoshi tidak menganggap kekalahan 4-2 kepada Bangkok United dalam perlawanan pembukaan saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/2026 sebagai satu tragedi.

Pengendali dari Jepun itu berkata anak buahnya telah menunjukkan semangat juang dengan menjaringkan dua gol walaupun beraksi dengan 10 pemain selepas Harith Haiqal dilayangkan kad merah pada minit ke-39.

“Tewas dengan perbezaan jaringan dua gol bukanlah satu tragedi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kinoshi memuji mentaliti pemain yang tidak berputus asa walaupun beraksi dengan seorang pemain kurang.

Beliau menyatakan pasukannya mempunyai peluang baik untuk menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua dengan terus menyerang.

“Mereka jelas tidak menyerah kalah,” tambahnya.

Kinoshi bagaimanapun mengakui anak buahnya menyulitkan keadaan dengan melakukan beberapa kesilapan taktikal.

“Jika lawan tidak begitu bagus, kesilapan yang dilakukan mungkin tidak akan dihukum,” ujarnya.

Beliau memberi penghargaan kepada Bangkok United sebagai pasukan yang baik dalam menghidu kelemahan Selangor.

“Kita perlu kenal pasti masalah ini dan melakukan perubahan untuk perlawanan akan datang,” tegas Kinoshi.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Bangkok United Totchtawan Sripan berpuas hati dengan prestasi pasukannya.

“Kami memang menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar dan itulah yang berlaku,” katanya.

Beliau mengakui mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang.

“Ada beberapa kesilapan kerana saya sendiri kurang biasa dengan keadaan padang,” tambahnya.

Totchtawan menyatakan pasukannya cuba menyesuaikan diri sebaik mungkin dalam perlawanan tersebut. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *