Pastikan MyKad berfungsi untuk nikmati subsidi petrol RM1.99 – Saifuddin

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai segera memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik.

Beliau berkata subsidi bersasar harga petrol hanya boleh dinikmati apabila MyKad digunakan sebagai pengesahan identiti semasa mengisi minyak.

“Kalau cip rosak atau tidak boleh dibaca, jangan risau. Anda boleh ke mana-mana pejabat atau kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara.

“Insya-Allah, pembaikan siap pada hari sama. Mudah dan cepat. Jangan tunggu saat akhir, buat semakan awal supaya anda dan rakan-rakan dapat menerima manfaat subsidi petrol khas ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran sama, Saifuddin Nasution berkata harga petrol RON95 dijangka turun kepada RM1.99 seliter pada hujung bulan ini melalui pelaksanaan subsidi bersasar.

“Alhamdulillah, Perdana Menteri akan menunaikan janji kepada rakyat Malaysia. Insya-Allah, harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter hujung bulan ini.

“Walaupun ambil masa sedikit, beliau tetap berpegang pada kata-kata. Seorang yang menepati janji. Setiap janji yang dibuat akan dilaksanakan demi rakyat Malaysia,” katanya.

Saifuddin Nasution menegaskan Kerajaan MADANI komited terus membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan serta memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti dan tanggungjawab.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi jaminan harga petrol RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, sejajar janji Kerajaan MADANI meringankan beban rakyat. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *