KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjemput Perdana Menteri Thailand yang baharu Anutin Charnvirakul untuk melakukan kunjungan ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi.
Anwar menyampaikan jemputan tersebut kepada Anutin semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon hari ini menurut hantaran di Facebook beliau.
Kunjungan itu antara lain bertujuan untuk mempererat hubungan baik antara kedua-dua negara jiran.
Mereka turut membincangkan perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja semasa perbualan telefon tersebut.
Anwar menekankan kepentingan semua pihak mengekalkan ketenteraman dan mengelakkan sebarang perbezaan daripada mencetuskan ketegangan yang tidak perlu.
Beliau menyeru agar segala isu yang timbul dibawa ke meja rundingan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama.
Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman merupakan jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau.
Anutin yang berusia 58 tahun secara rasmi memegang jawatan Perdana Menteri Thailand ke-32 pada 7 September lepas.
Beliau merupakan ketua parti Bhumjaithai dan perlantikan tersebut menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik Thailand. – Bernama