Saksi dedah ejekan Zara Qairina terhadap adik Kak M sebelum ayat ancaman

KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Papar memberitahu Mahkamah Koroner pihak sekolah pada awalnya tidak mengetahui mengenai ayat ‘kalau aku touch-touch, kau berdarah’ yang didakwa disebut oleh Kak M terhadap Zara Qairina Mahathir.

Azhari Abd Sagap berkata pihaknya hanya mengetahui perkara itu selepas audio perbualan Zara Qairina dan ibunya Noraidah Lamat tular di media sosial selepas insiden 16 Julai lepas.

Pihak sekolah kemudian membuat siasatan berhubung perkara itu dengan bukti-bukti berkaitan isu itu diserahkan kepada polis.

Mereka juga membawa pelajar yang dikenali sebagai Kak M dan semua pelajar yang disebutkan dalam audio itu untuk diambil keterangan polis.

Saksi kelapan dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina itu turut mendedahkan bahawa hasil siasatan pihak sekolah mendapati cerita berhubung ‘kalau aku touch-touch, kau berdarah’ sebenarnya berlaku pada Mei lepas.

Hasil siasatan mendapati Kak M didakwa menyebut sedemikian susulan adiknya yang belajar di Tingkatan Dua telah diejek oleh Zara Qairina dan rakannya.

Pelajar itu pada ketika itu berada dalam emosi tidak stabil susulan biliknya semak dan kotor.

Saksi juga berkata insiden ejekan terhadap adik Kak M berlaku secara bertulis apabila Zara Qairina dan rakannya meninggalkan nota yang menyebut “Dia seorang yang sok orku, sengaja takutkan Form 1, padahal baru juga junior.”

Nama panggilan adik Kak M juga disebut dalam bukti yang telah diserahkan kepada pihak polis.

Azhari menjelaskan bahawa istilah ‘sok sok’ bermaksud berpura-pura menjadi sesuatu manakala ‘orku’ merupakan singkatan kepada perkataan ‘orang kuat’.

Prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.

Zara Qairina berusia 13 tahun meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.

Beliau dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis.

Sebelum itu pada 8 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *