Pendaki dinasihat peka keadaan cuaca sebelum aktiviti mendaki

KUALA LUMPUR: Individu yang ingin melakukan aktiviti mendaki di kawasan bukit sekitar ibu negara dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan cuaca semasa.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Kuala Lumpur SAC Khalid Saion menyatakan keadaan cuaca yang tidak menentu boleh meningkatkan risiko berlakunya tanah runtuh atau kepala air di kawasan bukit yang menjadi lokasi tumpuan pendaki.

“Hujan dan ribut petir akan membahayakan semua pendaki, polis menasihatkan pendaki supaya sentiasa peka dan pantau keadaan cuaca sebelum memulakan aktiviti mendaki,“ katanya pada sidang media selepas simulasi bencana tanah runtuh di Seksyen 6 Wangsa Maju.

Khalid berkata kira-kira 500 petugas terlibat dalam simulasi tersebut termasuk daripada Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Angkatan Pertahanan Awam.

Beliau menjelaskan objektif simulasi tersebut adalah untuk memantapkan koordinasi antara semua agensi terlibat dalam melaksanakan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No.1, Peringkat Kuala Lumpur jika berlaku bencana.

Simulasi yang bermula pada pukul 8 pagi sehingga 5 petang itu juga bertujuan menguji kesiapsiagaan semua agensi terlibat daripada aspek sumber manusia dan logistik.

Khalid menegaskan simulasi tersebut berjaya dilaksanakan dengan semua agensi bertindak pantas dari saat panggilan kecemasan diterima sehingga pasukan keselamatan pertama tiba di lokasi.

Kawasan berbukit di Seksyen 6 Wangsa Maju dipilih sebagai lokasi simulasi tanah runtuh berikutan bencana tersebut pernah berlaku di kawasan itu pada tahun 2022 yang menyebabkan lima rumah terjejas dan 28 individu terjejas. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *