Imigresen serbu tiga pusat urut di Johor Bahru, tahan 54 warga asing

JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Malaysia menahan 54 pekerja warga asing selepas memeriksa 115 individu dalam operasi khas di tiga pusat urut dan refleksologi sekitar Johor Bahru.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki warga Indonesia, lima lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga China.

Beliau berkata turut ditahan 32 wanita warga Thailand, lapan wanita warga China serta masing-masing seorang wanita warga Myanmar, Vietnam dan Laos.

Zakaria berkata kesemua yang ditahan berusia antara 19 hingga 59 tahun itu dipercayai bekerja sebagai tukang urut tanpa dokumen sah.

“Dalam serbuan tersebut, kita turut menahan tiga lelaki tempatan dipercayai penjaga premis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi bermula 6 petang itu melibatkan 47 pegawai dan anggota penguat kuasa pelbagai pangkat dari Putrajaya dan Johor diketuai Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Basri Othman.

Katanya operasi bersepadu itu dijalankan hasil maklumat dan risikan sebelum pasukan digerakkan ke lokasi yang dikenal pasti.

“Pemeriksaan lanjut mendapati sebuah premis bukan sahaja menawarkan khidmat urutan dan refleksologi malah turut menyediakan bilik sauna kepada pelanggan,” katanya.

Zakaria berkata bayaran dikenakan antara RM92 hingga RM180 bergantung kepada pakej manakala pakej bilik sauna bernilai sehingga RM300.

Menurutnya, kesemua individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesemua tahanan telah ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut manakala 15 Borang 29 iaitu Saman Kepada Saksi turut dikeluarkan sepanjang operasi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung kegiatan itu dan mengalu-alukan kerjasama masyarakat dalam usaha membanteras perlindungan pendatang asing tanpa izin, pemerdagangan orang serta penyeludupan migran. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *