JPN sediakan saluran mudah ganti MyKad rosak dengan pelbagai pilihan

PUTRAJAYA: Orang ramai yang menghadapi masalah MyKad rosak boleh membuat penggantian dengan mudah melalui pelbagai saluran yang disediakan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Permohonan boleh dibuat di 210 kaunter JPN di seluruh negara menggunakan perkhidmatan Bas dan Van Bergerak MEKAR menghubungi talian MyPhone-In atau secara dalam talian melalui JPN e-Services.

Pemohon perlu membawa MyKad yang rosak dan bil utiliti sekiranya ingin menukar alamat ketika membuat permohonan.

Mereka yang hadir ke kaunter atau perkhidmatan MEKAR dinasihatkan supaya berpakaian kemas kerana gambar MyKad akan dikemas kini semasa proses tersebut.

Bagi permohonan melalui MyPhone-In dan JPN e-Services gambar serta alamat tidak boleh dikemas kini dalam proses penggantian.

Pemohon tetap perlu membawa MyKad yang rosak ketika hadir ke pejabat JPN bagi tujuan kutipan kad baharu yang telah siap diproses.

MyKad perlu diganti jika gagal dibaca pada mesin atau kiosk layan diri atau urusan di bank dan agensi kerajaan ditolak kerana sistem tidak dapat mengesan data kad.

Kad juga perlu ditukar apabila berlaku kerosakan fizikal seperti calar retak dan bengkok yang menjejaskan fungsi dan kebolehbacaan.

Kad yang telah digunakan melebihi 10 tahun wajar ditukar kerana cip berisiko haus atau terpadam akibat penggunaan jangka panjang.

Bayaran penggantian ditetapkan RM10 bagi MyKad dan RM40 bagi MyKAS serta MyPR mengikut kadar yang ditetapkan.

Penggantian adalah percuma sekiranya dilakukan dalam tempoh 12 bulan dari tarikh serahan kad rosak yang asal.

Tempoh siap penggantian MyKad di Ibu Pejabat Negeri cawangan UTC dan cawangan terpilih hanya mengambil masa sekitar 30 minit sahaja.

Proses di cawangan lain mengambil masa lima hari bekerja di Semenanjung manakala di Sabah Sarawak dan Labuan pula ialah tujuh hari bekerja.

MyKad sebagai dokumen pengenalan rasmi negara amat penting dalam pelbagai urusan seharian termasuk di bank klinik sekolah serta agensi kerajaan.

JPN turut berkongsi tip penjagaan MyKad agar tidak cepat rosak antaranya menyimpan kad dalam bekas khas yang sesuai.

Elakkan membengkok atau melipat kad serta mengelakkan kad daripada terdedah kepada haba tinggi dan air yang boleh merosakkan cip.

Jauhkan kad daripada berdekatan magnet dan elakkan geseran kasar atau mesin yang tidak dikenali untuk mengekalkan keadaan fizikal kad. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *