MERSING: Semua aktiviti selam skuba, snorkeling dan lawatan ke enam pulau perairan sekitar daerah ini dihentikan berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada kerja pemuliharaan biodiversiti marin serta alam sekitar.
Pegawai Daerah Mersing Jamil Hasni Abdullah berkata penutupan itu membabitkan Pulau Harimau, Pulau Gual, Pulau Mensirip, Pulau Mertang Timur, Pulau Mertang Barat dan Pulau Mertang Tengah.
Semua pengusaha resort, chalet, bot pelancong, aktiviti island hopping serta pusat selam skuba diminta menghentikan sebarang aktiviti berkaitan di kawasan terbabit berkuat kuasa serta-merta.
Pihak berkuasa akan menjalankan pemantauan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar arahan ini.
Beliau turut menggesa semua pihak mematuhi notis penutupan berkenaan demi menjamin kelestarian alam semula jadi kawasan terbabit. – Bernama