Ketua warden persoal ibu Zara Qairina tidak buat aduan buli anak

KOTA KINABALU: Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha mempersoalkan tindakan ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir, Noraidah Lamat yang berdiam diri walaupun anaknya dikatakan pernah mengadu mengenai masalah yang dihadapinya di asrama.

Azhari Abd Sagap, 31, yang juga guru Bahasa Arab membangkitkan persoalan itu ketika memberi keterangan sebagai saksi kelapan pada hari kesembilan prosiding inkues kematian pelajar tingkatan satu itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau menyatakan cerita mengenai ‘Kak M’ ini bermula sejak Mei lepas mengikut hasil siasatan pihak sekolah dan mempersoalkan mengapa ibu Zara Qairina tidak membuat sebarang laporan kepada pihak sekolah.

Azhari berkata beliau merasa sangat terkesan dengan kehilangan pelajar itu dan mengambil tahu semuanya kerana jika tiada aduan daripada Zara Qairina sendiri, sepatutnya ada aduan daripada ibunya tetapi langsung tidak ada.

Menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes itu, Azhari berkata ibu mangsa juga tidak pernah menceritakan sebarang inisiden buli kepadanya ketika mereka bertemu di unit kecemasan hospital.

Beliau menegaskan mereka hanya tahu tentang buli selepas ibu mangsa membuat hantaran di TikTok.

Azhari yang meluahkan rasa sedih kerana secara peribadi mengenali Zara Qairina sebagai pelajarnya turut mengimbas kembali pesanan yang pernah disampaikannya dalam kelas Bahasa Arab yang dihadiri mangsa.

Beliau pernah berpesan dalam kelas kepada semua murid perempuan agar jika tidak mahu menutup aurat dengan baik atau tidak mahu memakai handsock, mereka humban saja bapa mereka dengan batu.

Selepas itu, Zara Qairina mula memakai handsock putih yang masih diingati oleh Azhari yang menyatakan beliau tidak tahu apa yang sebenarnya dialami mangsa dan mahu mencari keadilan.

Zara Qairina yang belajar di kelas Tingkatan 1 Fatimah tinggal di Asrama Qurratu Ayun di tingkat 3 Blok Rabiatul Adawiyah bersama 11 pelajar lain di bawah seliaan Azhari.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada kira-kira 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, Jabatan Peguam Negara pada 8 Ogos telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *