KUALA LUMPUR: Seorang penceramah bebas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini selepas didapati bersalah merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun empat tahun lepas.
Hakim Noridah Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Fathi Na’im Mazlam atau dikenali sebagai Ustaz Fathi Naim selepas mendapati tertuduh gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah berpuas hati dengan keterangan yang diberikan sepanjang perbicaraan dan mendapati tertuduh bersalah serta disabitkan dengan ketiga-tiga pertuduhan.
Hukuman penjara 15 tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan dijatuhkan dengan ketiga-tiga hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa merogol seorang kanak-kanak perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun di dalam sebuah kenderaan yang diparkir di Dataran Eco World, Bandar Baru Puncak Alam, Kuala Selangor pada 3 dan 7 petang awal Julai dan 27 Julai 2021.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Bapa lapan anak itu turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak sama di tempat serupa pada Jun 2021.
Pertuduhan ketiga didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur ‘Ayuni Jamri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara maksimum terhadap tertuduh.
Perbuatannya yang sanggup merogol seorang kanak-kanak bawah umur menunjukkan dia tidak mengendahkan undang-undang dan hukum agama.
Dia juga tidak mempunyai sifat ihsan serta belas kasihan terhadap kanak-kanak itu dan sanggup mengambil kesempatan terhadap mangsa.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mempunyai sakit slipped disc atau cakram gelincir.
Dia juga memohon pertimbangan kerana perlu menanggung tiga isteri serta lapan anak yang masih kecil dan bersekolah.
Mahkamah menolak rayuan tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara. – Bernama