Ketua warden sebak hadapi kecaman netizen kes Zara Qairina

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner hari ini menyaksikan detik emosi apabila seorang saksi meluahkan kesedihan terhadap kecaman netizen.

Ketua Warden Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Papar Azhari Abd Sagap berusia 31 tahun tidak dapat menahan sebak ketika memberi penjelasan tentang kecaman yang diterimanya.

Saksi kelapan itu menegaskan bahawa beliau serta pihak sekolah tidak pernah melindungi sesiapa dalam kes berkenaan.

Beliau menyatakan pihaknya sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dengan menyerahkan semua bukti dan keterangan.

“Kalau kami mahu melindungi pembuli atau pembunuh Zara Qairina, saya tidak akan ceritakan apa yang berlaku pada malam 15 Julai itu kepada pegawai polis.”

“Saya maklumkan perkara itu sebelum ibu Zara Qairina membuat laporan polis kali kedua.”

Azhari berkata beliau sendiri yang berurusan dengan polis dan memenuhi semua permintaan pihak berwajib.

“Apa-apa polis minta, siapa sahaja yang polis mahu bawa ke IPD Papar saya bawa, termasuklah audio ‘Kak M’.”

“Saya juga yang memberitahu polis siapa ‘Kak M’,” katanya.

Beliau menegaskan remaja yang didakwa sebagai ‘Kak M’ di media sosial bukanlah individu sebenar yang dimaksudkan.

Beliau menjelaskan pelajar yang dikaitkan dengan gelaran tersebut sebenarnya merupakan pelajar baik yang aktif dalam aktiviti hafazan dan antara tiga pelajar terawal menamatkan peperiksaan tahun lepas.

“Tuduhan terhadap pelajar ini sangat kejam kerana dialah orang pertama yang menemui Zara Qairina tidak sedarkan diri di asrama pada pagi 16 Julai,” katanya ketika memberi keterangan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Azhari menekankan tanpa bantuan pelajar tersebut, keadaan Zara Qairina mungkin lebih teruk dan nyawanya mungkin sudah hilang di lokasi kejadian.

Beliau memberikan keterangan itu ketika menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes Zara Qairina.

Saksi menyatakan kesedihan atas kecaman yang diterimanya walaupun telah berusaha menyelamatkan Zara Qairina dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.

“Adakah ini yang patut saya terima? Adakah ini patut sekolah terima? Tiada apa yang kami selindungi,” soal saksi dengan penuh emosi.

Beliau menceritakan telah menunggu sehingga Zara Qairina dicabut dari mesin sokongan nyawa dan mengikuti jenazahnya sehingga ke tanah perkuburan.

“Saya ikut solat sampai ke perkuburan. Inikah patut saya terima?” tambahnya lagi.

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai, sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar.

Jabatan Peguam Negara telah mengarahkan inkues dijalankan pada 13 Ogos selepas meneliti laporan siasatan polis.

Sebelum itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan perintah untuk menggali semula kubur Allahyarham bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *