Tanaman kelapa sawit dan kelapa seluruh negara hadapi ancaman spesies asing invasif

BATU PAHAT: Sebanyak 5.56 juta hektar tanaman kelapa sawit dan 79,491 hektar kelapa di seluruh negara kini berdepan ancaman serius spesies asing invasif (IAS) yang berpotensi menjejaskan hasil pertanian dan pendapatan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pertanian (Pengurusan dan Regulatori) Mat Iesak Ngathinee berkata sebanyak 59 spesies IAS dikesan sejak 2011, dengan dua daripadanya dikenal pasti sebagai ancaman paling serius terhadap tanaman palma.

Beliau menyatakan kumbang badak guam (Oryctes rhinoceros biotip guam) dan kumbang merah palma (Rhynchophorus ferrugineus) merupakan ancaman utama yang memerlukan pengurusan bersepadu.

Tindakan pengurusan secara bersepadu perlu digalas secara bersama oleh semua pihak termasuk agensi kerajaan, sektor swasta, institusi penyelidikan serta komuniti setempat.

“Ancaman daripada spesies asing invasif ini bukan sahaja mencabar daripada sudut biologi dan ekologi, malah membawa implikasi besar terhadap ekonomi, sosial serta alam sekitar negara.”

Jabatan Pertanian dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah merangka beberapa program untuk pendedahan kepada pekebun termasuk seminar kesedaran ancaman serangga perosak.

Mat Iesak berkata Jabatan Pertanian melalui Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2022–2030 serta Pelan Tindakan Kebangsaan IAS 2021-2025 memfokuskan kepada peningkatan kesedaran awam dan pengukuhan kawalan kuarantin.

Seminar tersebut diyakini akan menjadi pemangkin kepada perancangan strategi pengurusan IAS yang lebih tersusun untuk keterjaminan makanan negara.

Berdasarkan laporan terkini, kumbang badak guam dikesan di ladang kelapa dan kelapa sawit di Lahad Datu, Sabah dengan pengesanan dilaksanakan oleh MPOB.

Serangan kumbang merah palma pula menyerang tanaman di Pangkalan Chepa, Kelantan memerlukan tindakan segera pengurusan pencegah.

Langkah pengurusan termasuk kuarantin, pemantauan berkala, pemasangan perangkap feromon serta penghapusan dan kawalan kimia dan biologi telah dilaksanakan.

Kumbang merah palma telah diwartakan sebagai perosak berbahaya bagi menghapus, membendung dan mengawal serangga IAS yang mampu menjejaskan ekonomi tanaman. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *