628 kes bankrap penjawat awam Selangor direkod sejak 2020

SHAH ALAM: Sebanyak 628 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam di Selangor telah direkodkan bagi tempoh dari tahun 2020 sehingga kini.

Pengarah Insolvensi Selangor Pavani Kasi menyatakan bahawa faktor utama kebankrapan ini disebabkan oleh pinjaman peribadi diikuti dengan pinjaman perumahan dan pinjaman sewa beli kenderaan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa statistik kebankrapan di Selangor menunjukkan trend menurun khususnya pada tahun 2025 hasil daripada peningkatan kesedaran literasi kewangan dalam kalangan penjawat awam.

“Ini mungkin disebabkan oleh kesedaran yang diberikan dari masa ke masa menjadikan penjawat awam lebih sedar dalam menguruskan kewangan,” katanya kepada pemberita pada Program Literasi Kewangan Penjawat Awam Selangor.

Pavani menambah bahawa pihaknya ingin melihat lebih banyak penurunan sehingga mencapai angka satu digit atau sifar kes kebankrapan.

Mengenai kebankrapan akibat hutang kad kredit, beliau berkata ia telah menurun dalam kalangan penjawat awam Selangor.

“Kesedaran tentang kebankrapan akibat pinjaman peribadi perlu dipertingkatkan lagi, antaranya mungkin pihak institusi kewangan boleh melihat semula cara-cara atau syarat memohon yang boleh diperketatkan,” ujarnya.

Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia sebelum ini menunjukkan 4,194 kes kebankrapan membabitkan penjawat awam direkodkan antara 2020 hingga Jun 2025.

Angka ini mewakili kira-kira 0.3 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam di negara ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *