KAJANG: Dua pelajar lelaki berusia 13 tahun diperintahkan menjalani bon berkelakuan baik selama setahun oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana menampar rakan sekelas mereka di sebuah pusat beli-belah dua bulan lepas.
Peguam Lee Tee Kiat yang mewakili kedua-dua pelajar berkata Majistret Fatin Dayana Jalil memerintahkan demikian selepas anak guamnya mengekalkan pengakuan bersalah pada prosiding sebutan kes untuk laporan akhlak dan jatuh hukum.
Mahkamah mengenakan perintah itu selepas bersetuju dengan cadangan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya dua pelajar ini dikenakan perintah menjalani bon berkelakuan baik selama setahun tanpa cagaran.
Selain itu, mahkamah bersetuju dengan laporan akhlak dua pelajar yang memuaskan dan mereka mempunyai peluang untuk memperbaiki diri.
Mahkamah turut mengekalkan jaminan RM500 yang dikenakan kepada setiap pelajar.
Prosiding hari ini dijalankan secara tertutup kerana mereka pesalah bawah umur dan mereka hadir bersama ibu bapa masing-masing.
Mereka didakwa secara bersama-sama menampar mangsa yang juga berusia 13 tahun di tempat awam bagi tujuan mengganggu keamanan di sebuah pusat beli-belah dekat sini pada 11 pagi, 30 Julai lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Pada 2 Ogos, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan rakan sekelas mangsa yang tidak puas hati dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka.
Susulan kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka. – Bernama