KKM cadang tambah baik wad kelas 3 dan elaun petugas dalam Belanjawan 2026

KOTA BHARU: Kementerian Kesihatan telah mengemukakan lebih enam cadangan berimpak besar untuk Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan.

Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM Datuk Seri Zahrul Hakim menyenaraikan peruntukan tambahan bagi meningkatkan fasiliti di wad Kelas 3 dan elaun tambahan kepada petugas kesihatan di kawasan pedalaman.

Beliau berkata cadangan itu melibatkan pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat yang berkhidmat di kawasan terpencil.

“Untuk belanjawan 2026, KKM telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama pihak berkepentingan dan berjumpa Kementerian Kewangan untuk memohon peruntukan tambahan,” katanya selepas merasmikan Majlis Persidangan Perwakilan Dwitahunan Ke-27 Kesatuan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Semenanjung Malaysia.

Zahrul menekankan cadangan peruntukan tambahan bagi meningkatkan keselesaan pesakit wad Kelas 3 selaras dengan aspirasi MADANI.

Beliau menyatakan harapan agar cadangan tambahan elaun untuk petugas kesihatan di kawasan pedalaman dapat dipertimbangkan oleh Kementerian Kewangan.

“Kita harap dapat diberi pertimbangan untuk kenaikan elaun bagi mengalakkan petugas KKM yang berada di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Beliau mengakui implikasi peruntukan berkenaan adalah besar tetapi mengharapkan berita gembira untuk KKM.

Dalam ucapannya terdahulu, Zahrul menyatakan cabaran dunia kesihatan semakin kompleks dan memerlukan pemimpin yang cekap dari aspek klinikal dan bijak dalam teknologi kesihatan digital.

Beliau menyeru Penolong Pegawai Perubatan muda melengkapkan diri dengan ilmu tambahan dalam bidang informatik kesihatan, perubatan kecemasan atau kesihatan awam. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *