Kerajaan Melaka rangka program usahawan TVET cipta peluang kerja

MELAKA: Kerajaan negeri sedang merangka beberapa program utama bagi membolehkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menceburi bidang keusahawanan.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata langkah ini dijangka memperkukuh ekosistem usahawan muda dan meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Beliau menyatakan setiap usahawan TVET yang berjaya mampu menggaji sekurang-kurangnya 10 pekerja untuk mencipta kesan penggandaan yang besar.

Usaha ini dilaksanakan selepas Melaka menerima peruntukan RM10 juta daripada kerajaan Persekutuan seperti diumumkan Perdana Menteri sempena Hari TVET Negara.

Beberapa sektor berpotensi dikenal pasti termasuk perkhidmatan perhotelan, katering, kulinari, pastri, kesihatan, kecantikan, elektrik, elektronik dan automotif.

Graduan yang telah mempunyai perniagaan akan disediakan pakej khas untuk membantu mengembangkan operasi mereka.

Kesemua program sedang diperhalusi dan akan diumumkan serta dilaksanakan bermula tahun depan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *