Kendalikan isu tanah kampung baru secara teliti, utama kepentingan orang Melayu – Sultan Selangor

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan agar isu pembangunan semula tanah di Kampung Sungai Baru di sini dikendalikan secara teliti dan berhemah dengan keutamaan harus diberikan kepada kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu, juga dikenali sebagai Kampung Baru, hendak dibangunkan seiring dengan peredaran zaman namun syarat-syaratnya harus jelas serta berpihak kepada orang Melayu.

“Sebab itu, Beta mahu dalam setiap butir pertimbangan yang dilakukan oleh semua pihak berkaitan mengenai hal ini, sejarah asal penubuhan dan warisan kawasan Kampong Bharu harus diambil kira,” titah baginda dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan bahawa kawasan itu telah ditubuhkan pada 1899 dan diiktiraf sebagai penempatan masyarakat Melayu untuk tujuan pertanian, hasil kurniaan nenda baginda iaitu Sultan Selangor Kelima Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, melalui Warta Kerajaan Negeri Selangor bertarikh 12 Jan 1900 sebagai rizab Petempatan Pertanian Melayu (MAS).

“Beta ingin mengimbas semula susur galur sejarah dan peristiwa penting orang Melayu yang telah berlaku di Kampong Bharu dan harus dipelihara,” titah baginda- Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *