Malaysia mulakan rundingan FTA dengan GCC pada Disember ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan memulakan pusingan pertama rundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) pada Disember depan.

Ketua Setiausaha MITI Datuk Hairil Yahri Yaacob menyatakan sudah tiba masanya untuk Malaysia mengembangkan perdagangannya dengan negara anggota GCC.

Beliau berkata MITI baru sahaja memuktamadkan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) dengan Emiriah Arab Bersatu dan akan menandatangani perjanjian itu sebaik sahaja kedua-dua negara memuktamadkan prosedur domestik.

“Kami sedang dalam proses untuk menyelesaikan prosedur perundangan tidak lama lagi dan bulan depan perjanjian itu akan berkuat kuasa,“ katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian mesyuarat agung tahunan ke-15 Dewan Perniagaan Arab-Malaysia (AMCC).

Hairil menambah bahawa ketua perunding Malaysia dan GCC telah bertemu secara fizikal beberapa bulan lepas sebagai persediaan untuk rundingan penuh pada Disember ini di salah satu negara anggota GCC.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengulangi komitmen Malaysia kepada rakan kongsi negara-negara Arab dan berharap untuk mengukuhkan hubungan melangkaui perdagangan dan pelaburan.

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) akan terlibat dalam dialog berterusan dengan rakan kongsi dari Timur Tengah untuk meningkatkan hubungan perdagangan dengan Malaysia.

“Perkara berkaitan ekonomi dan perdagangan telah menjadi penting dan mendapat perhatian dalam dasar Malaysia ke arah Timur Tengah,“ kata Tengku Zafrul melalui teks ucapannya yang dibacakan oleh Hairil.

Timur Tengah bukan sahaja menjadi sumber pelaburan langsung asing tetapi juga pasaran utama untuk produk dan perniagaan Malaysia termasuk kereta Proton dan komoditi.

Tengku Zafrul menekankan bahawa Malaysia terus menawarkan persekitaran yang stabil, terbuka dan mesra perniagaan dengan kelebihan lokasi geografi strategik di tengah-tengah ASEAN.

Tenaga kerja berkemahiran yang boleh berkomunikasi dalam pelbagai bahasa serta perlindungan harta intelek dan undang-undang yang kukuh turut menjadi daya tarikan Malaysia kepada pelabur Timur Tengah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *