Ibu Zara Qairina tenang, diberi masa cukup buat keputusan bedah siasat

KOTA KINABALU: Seorang pegawai perubatan memberitahu Mahkamah Koroner bahawa ibu kepada Zara Qairina Mahathir diberi masa secukupnya untuk membuat keputusan berhubung proses bedah siasat anaknya itu.

Dr Logaraj Ratha, yang menjalani latihan luar kampus di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth sejak Jun tahun lepas, berkata Noraidah Lamat kelihatan tenang dan diberi ruang untuk berfikir sebelum membuat keputusan.

“Pada ketika itu, dia nampak tenang. Saya menerangkan dalam bahasa yang mudah difahami serta memberi dia masa untuk berfikir, dan ketika itu dia boleh menjawab soalan saya dengan jelas,” katanya menjawab soalan peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili Noraidah.

Terdahulu, saksi itu memberitahu mahkamah bahawa pegawai penyiasat kes Inspektor Wong Yew Zhung tidak mengeluarkan borang POL 61 iaitu permintaan pemeriksaan ke atas jenazah Zara Qairina, sebaliknya meminta jenazah diserahkan kepada ibunya dan Noraidah juga bersetuju.

Sebelum itu, doktor tersebut memberitahu mahkamah bahawa Pegawai Perubatan Jabatan Neurosurgeri HQE Dr Pavankumar Balachandra telah memberitahu Insp Wong mengenai punca kematian Zara Qairina adalah akibat kecederaan otak traumatik yang teruk dengan ensefalopati iskemia hipoksik.

Menurut saksi, borang itu tidak dikeluarkan kerana Inspektor Wong sudah mengetahui punca kematian dan selepas siasatan dijalankan, beliau mendapati tiada keperluan untuk melakukan bedah siasat.

Dr Logaraj menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan pihak polis kerana itu bidang kuasa polis untuk menentukan sama ada bedah siasat dijalankan.

Noraidah juga tidak memberi sebarang reaksi ketika dimaklumkan bahawa pihak polis tidak mengeluarkan borang POL 61, malah dia turut bersetuju.

Saksi menjelaskan bahawa sebelum memberitahu keputusan polis, beliau sudah berbincang dengan Noraidah tetapi ketika itu Noraidah tidak memberitahu banyak maklumat.

“Dia hanya maklumkan kepada saya bahawa pihak sekolah ada menghubunginya dan memaklumkan anaknya cedera serta dimasukkan ke hospital,” jawab saksi itu.

Sementara itu, ketika disoal peguam Abdul Fikry Jaafar, yang mewakili empat tertuduh kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina, saksi berkata Noraidah tidak pernah menyatakan terdapat unsur jenayah, pukul atau buli membabitkan anaknya.

Menjawab soalan sama ada terdapat kecederaan akibat dipukul pada badan mangsa, Dr Logaraj berkata beliau tidak melakukan sebarang pemeriksaan ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu itu kerana tidak menerima borang POL 61.

Saksi menegaskan bahawa sama ada terdapat unsur jenayah atau tidak bergantung kepada siasatan polis dan pihak Jabatan Forensik pada ketika itu tidak melakukan sebarang pemeriksaan terhadap mayat si mati.

Ketika disoal Koroner Amir Shah Amir Hassan sama ada Inspektor Wong berada di mortuari ketika penyerahan jenazah kepada Noraidah, saksi berkata, “Inspektor Wong tidak ada di situ.”

Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai lepas.

Remaja itu dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada 4 pagi.

Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan dikemukakan pihak polis manakala sebelum itu pada 8 Ogos, AGC mengeluarkan perintah agar kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan bedah siasat dilakukan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *